Dr Malaysia Logo

Hutang! Oh Hutang!

Share it:

Kehidupan di zaman kini agak sukar untuk mengelak dari meminjam atau berhutang, baik untuk tujuan pendidikan, perniagaan mahupun keperluan hidup seperti makan minum, pakaian, membeli rumah dan kenderaan.

Meminjam atau berhutang di atas suatu keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara daruriyyat (tersangan penting) adalah diharuskan demi membawa elemen positif dalam urusan dan kehidupan selagi menepati prinsip Syariah Islam.

Hutang menjadi negatif apabila ia menjadi tabiat dalam melayan kehendak hidup di luar kemampuan. Berhutang bukan sebab keperluan tetapi bermewah atau memenuhi tuntutan nafsu semata-mata seperti hiburan dan perhiasan.

Rasulullah SAW mengajar doa agar dibebaskan daripada hutang. Abu Said Al-Khudhri RA berkata: “Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid. Tiba-tiba ada seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk (di masjid) di luar waktu solat?” Beliau menjawab: ”Aku resah memikirkan hutangku, wahai Rasulullah”. Baginda bertanya : “Mahukah aku ajarkan kepadamu sebuah doa yang apabila engkau baca maka Allah Taala akan menghilangkan keresahanmu dan melunasi hutangmu?” Dia menjawab: “Sudah tentu Ya Rasulullah”.

Baginda SAW bersabda, “Jika engkau berada di waktu pagi mahupun petang, bacalah doa ini :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas dan aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari cengkaman hutang dan penindasan orang.”

Maka Abu Umamah RA menceritakan kisah ini, “Aku buat seperti mana Rasulullah SAW menyuruh aku mengucapkan doa ini pada waktu pagi dan petang. Maka Allah SWT telah menghilangkan rasa gundah gulana dan keluh kesah yang menghimpit aku ini dan juga hutang piutang yang telah membebani aku” (HR Abu Daud: 1555).

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab (yang mengadakan perjanjian pembebasan dengan tuannya) datang kepadanya dan berkata; aku tidak mampu membayar pembebasanku, maka tolonglah aku! Ali berkata; mahukah aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepadaku, yang seandainya engkau memiliki hutang sebesar gunung Shir nescaya Allah akan membayarkannya untukmu.

Ali RA berkata; ucapkanlah;

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

“Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki Mu yang halal (dan jauhkan aku) dari yang haram. Cukupkanlah aku dengan kurnia Mu dan jauhkan aku dari bergantung pada selain Mu”. (HR Tirmizi No: 3563) Status: Hadis Hasan

Berusahalah untuk tidak berhutang melainkan keadaan yang tidak boleh dielakkan. Apatah lagi jika ia melibatkan hutang dengan along atau bank yang tidak patuh syariah. Bahagianya bila kita tidak berhutang!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Latest Article.